Friday, May 16, 2008

MELAYU PERLU BERSATU


Dalam perjuangan kita perlu semangat dan azam. Dalam semangat kita perlu ada cita-cita. Tanpa cita-cita kita tidak akan ada matlamat. Hari ini kita rasa kita gagah kerana kehebatan orang terdahulu yang menghadiahkan satu pusaka cukup bernilai kepada kita. Namun hari ini juga kita terleka dan akhirnya kita semakin tertindas dan ditindas tanpa kita sedari. Ke mana arah yang sepatutnya dituju, mana arah yang menjadi penentu perjuangan orang-orang Melayu?

Barangkali sudah tiba masanya untuk semua pemimpin politik Melayu bersama-sama memikirkan mengenai survival orang Melayu dengan mengambil pendekatan merentasi sempadan politik yang selama ini telah menjadi pemisah kepada penyatuan bangsa. Percayalah, hari ini sebagai anak bangsa melayu yang hidup di bumi bertuah Malaysia ini kita harus berani untuk terus menjulang warisan pusaka bangsa. Biar ditentang apa jua jangan sesekali kita berpatah, ingatlah jangan kerana kita disergah kita terus melatah. Orang sekeliling ingin melihat dimana letaknya jati diri anak melayu.

Apakah kita ingin ditertawakan oleh orang lain yang sememangnya ingin melihat kita melatah bila disergah. Tiada kemerdekaan tak mungkin dapat kita kecapi segala kejayaan yang kita genggam bersama. Biarpun kejayaan individu yang dilakar atas usaha sendiri mahupun kejayaan kumpulan-kumpulan tertentu. Tanpa satu kebebasan yang mutlak sudah pasti apa yang ingin dilaksanakan mendapat tentangan yang amat memeritkan.

Tahun 2008 adalah tahun ke 62 bagi UMNO, antara mesej utama yang ditekankan oleh pucuk pimpinan UMNO, tidak lain tidak bukan adalah bersatu memperkukuhkan parti keramat orang Melayu itu. Ia telah dizahirkan dengan istilah muafaakat, integriti, bersama, berpadu, bersetia, rapatkan barisan dan bermacam-macam lagi yang ditegaskan oleh barisan hadapan kepimpinan UMNO yang berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersama 3,000 ahlinya. Begitu juga dengan lagu baru UMNO yang dinyanyikan buat pertama kalinya pada majlis itu, ia menyorot mesej perpaduan yang amat ketara melalui setiap baris lirik ciptaan Johari Selamat itu.

Walau apa pun istilah yang dilaungkan atau lagu yang dinyanyikan, jelas sekali mesejnya hanya satu iaitu menyatukan semua ahli UMNO sehingga ke akar umbi dan menghindari sikap berpecah belah sehingga melemahkan parti. Memang tidak dinafikan pada era pasca Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU-12) ini terlalu banyak polemik yang muncul dalam UMNO sehingga berlakunya situasi cabar-mencabar, tuduh-menuduh dan bertikam lidah sehingga membawa kepada wujudnya puak-puak dalam UMNO sendiri. Apabila wujudnya puak dan kem yang menggambarkan perpecahan ini, maka tergambarlah kepada seluruh umat Melayu khusunya generasi muda bahawa parti yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu ini seperti sudah tidak relevan lagi. Ini kerana namanya yang berdaftar pada 11 Mei 1946 adalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau dalam Bahasa Inggeris, United Malays National Organization (UMNO).

Perkataan 'united' bermaksud bersatu dalam Bahasa Melayu manakala 'bersatu' yang sudah jelas tercatat dalam nama rasmi pertubuhan itu sudah memberi tafsiran amat nyata bahawa tiada puak-puak atau kumpulan-kumpulan sebaliknya semua ahli UMNO adalah satu. Tetapi situasi yang telah tergambar pada parti UMNO kini adalah berpecahan yang wujud akibat tidak sekata, ego yang tinggi, lupa diri dan terlalu mengagungkan habuan. Dengan sebab perpecahan itu, maka tidak dapat dinafikan bahawa ia melemahkan sesebuah intitusi itu seperti kata pepatah Melayu, bersatu teguh, bercerai akan menjadi lemah dan seterusnya roboh.

Oleh dengan itu bangkitlah bangsaku...genggam terus warisan pusaka itu. Katakan pada mereka ianya dijulang bukan untuk mencetuskan bencana tetapi ianya sebagai pembakar semangat kepada anak bangsa kita kerana dulukala itulah yang digunakan oleh nenek moyang kita dalam memperkasakan bangsa tetapi hari ini segala apa yang ada bukan bererti membuatkan kita lupa pada asal usul kehebatan bangsa. Marilah kita bersama hayati sajak 'Melayu mudah lupa'..
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah Ingatlah Ingatlah Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...

No comments: