Saturday, May 24, 2008

GEJALA DADAH TERUS MEREBAK: Publisiti kesan buruk penagihan dadah seolah-olah tidak berkesan. Mengapa Jadi Begini?

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh (faizal9506@gmail.com)

DADAH adalah satu-satunya fenomena sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Masalah ini mula diperkatakan sejak tahun 70-an lagi, tetapi sehingga kini masih tidak menampakkan perubahan positif. Masalah dadah sebenarnya adalah masalah sejagat. Sebagai sebuah rantau yang dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial. Penyalahgunaan dadah terutamanya di kalangan remaja amat membimbangkan dan ia berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak, dan perjudian. Perkara inilah yang banyak menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosio-budaya, politik mahupun keselamatan. Dengan lain perkataan, kemajuan serta pembangunan yang kita capai dan kecapi selama ini tidak akan berkekalan sekiranya masalah dadah tidak dapat diatasi segera.

Meneliti statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mencetuskan perasaan sedih dan membimbangkan.Laporan ini membentangkan statistik penagihan dadah terkini yang dikesan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac 2007 yang dikumpul dan dikeluarkan oleh Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI). Sepanjang tempoh tiga bulan pertama pada tahun 2007 menunjukkan seramai 3,731 orang penagih dadah dikesan, namun menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 46.71% berbanding tempoh masa yang sama pada tahun 2006 iaitu 7,001 orang. Mereka terdiri daripada 1,738 orang (46.58%) penagih baru, menurun sebanyak 40.74% berbanding 2,933 orang bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Manakala penagih berulang yang dikesan adalah seramai 1,993 orang (53.42%), menurun sebanyak 51.01% berbanding tahun 2006 iaitu sebanyak 4,068 orang.

Ramai Belia Terlibat

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2007, golongan belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun masih lagi majoriti penagih yang dikesan iaitu seramai 2,681 orang (72.62%) manakala seramai 93 orang (2.52%) adalah penagih remaja yang berusia di antara 13-18 tahun. Berdasarkan laporan AADK ini, kita boleh melihat masih ramai golongan belia yang terjemurus dalam perangkap najis dadah. Walaupun laporan ini menunjukkan sedikit penurunan jumlah penagih, namun ia masih belum dapat menyelamatkan generasi muda dari terjebak dalam lembah kehinaan ini.

Siapa harus dipersalahkan? Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain sentiasa mengingatkan orang ramai, padahnya penyalahgunaan dadah, malah turut mengambil tindakan tegas terhadap semua yang terlibat seperti pengedar, penagih, penjual dan pembekal, tetapi hakikat ini seolah-olah langsung tidak mendatangkan kesan. Mengikut statistik, kategori umur antara 25 hingga 29 tahun merupakan bilangan penagih paling ramai dikesan (20.07%), satu hakikat yang amat membimbangkan kerana ia mampu menjadi satu wabak dan bencana yang menakutkan masyarakat dan negara.

Mengapa ia menakutkan masyarakat dan negara? Ini kerana dadah menjadi punca kepada bermacam perbuatan jenayah yang boleh membawa kepada kekacauan serta permasalahan dalam rumahtangga, masyarakat dan negara. Penagih dadah menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya manakala pengedar dadah pula menjadi ancaman besar kepada setiap individu dan boleh menjejaskan kesejahteraan negara dan agama. Jika ini berlaku, bagaimana kita mahu memperjudikan masa hadapan negara dan bangsa di tangan mereka kelak?

Faktor terjebak dalam penagihan dadah

Remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh. Menurut statistik, mereka yang terjerumus ke kancah ini disebabkan pengaruh kawan atau teman sebaya sepanjang Januari hingga Mac 2007 adalah seramai 1,550 orang (53.71%) manakala faktor dorongan perasaan ingin tahu menyumbang 639 (22.14%), sementara mereka yang mencari keseronokan menyumbang kepada 491 (17.01%).

Sehubungan dengan itu, peranan ibu bapa penting. Namun bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang terlibat dengan gejala ini, tidak dinafikan perasaan marah, kecewa dan malu akan dirasai namun jangan pula membiarkan semua perasaan ini menguasai diri. Seluruh ahli keluarga amat penting untuk menentukan sama ada si anak atau ahli keluarga yang terlibat akan pulih, seterusnya menjadi manusia biasa atau akan terus menjadi penagih dadah tegar.

Dalam intipati ucapan sempena Hari Kebangsaan 1995, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyebut bahawa kejayaan yang dikecapi oleh negara kita telah menimbulkan berbagai-bagai masalah sosial seperti kegiatan tidak sihat di kalangan belia kita. Masalah ini mungkin timbul sebab ramai ibu bapa kini mengenepikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan. Kesannya, anak-anak ini terbiar dan tidak lagi mendapat pedoman serta tunjuk ajar yang diperlukan. Walaupun masalah ini belum begitu rumit, jika tidak dibendung dari sekarang ianya boleh menjadi serius. Jika kita tidak berhati-hati, masalah keruntuhan moral di kalangan belia yang sedang menghantui Barat akan muncul di hadapan pintu kita.

Akta dan undang-undang: Sekadar catatan atau keinsafan?

Menyentuh mengenai undang-undang, Malaysia amat serius dengan masalah pengedaran dadah yang mana, ia boleh membunuh beribu-ribu manusia. Penyalahgunaan dadah juga boleh mengakibatkan sesebuah negara itu hancur. Contohnya, Republik Rakyat China. Satu ketika dulu, pada zaman Dinasti Ming, rakyat negara China begitu asyik menghisap candu, kesannya ialah negara China hampir menuju kehancuran. Kita di Malaysia juga harus mengambil ikhtibar sejarah negara luar yang gagal mengawal pengedaran dadah ini.

Menyingkap masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai undang-undang dadah paling keras di dunia. Tidak hairanlah jika tahun-tahun 1920-an dan 1930-an, beberapa enakmen dan pengikhtiharan mengenai dadah jenis candu yang berasingan telah diwujudkan kerana implikasi penggunaan dadah ternyata boleh menghancurkan hidup, masyarakat, ekonomi dan negara.

Dadah secara rationalnya digambarkan sebagai sesuatu yang negatif dan perlu dijauhi. Penyalahgunaan dadah berlaku apabila dadah digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan diambil oleh seseorang tanpa pengawasan pihak perubatan. Dadah memberi kesan negatif ke atas sistem badan, tingkah laku manusia dan sebagainya. Keburukan yang diterima oleh pengambil dadah adalah lebih banyak berbanding kebaikan dan manfaatnya yang boleh didapati. Jika diteliti, dadah disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti mengelakkan rasa sakit, mendapatkan rasa segar, mengelakkan tekanan hidup, melarikan daripada kesengsaraan dan sebagainya.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa dalam dadah terdapat bahan kimia beracun yang boleh menyebabkan ketagihan dan pergantungan hidup kepada dadah. Sebagai racun, dadah akan membinasakan saraf manusia dan boleh membawa maut. Pengambilan dadah memberikan kelegaan yang bersifat sementara dan kesengsaraan yang lama kepada pengambilnya.

Peranan Pertubuhan Belia

Golongan belia di negara ini merupakan kumpulan masyarakat yang paling ramai iaitu 42.54 % atau 11.12 juta penduduk adalah berumur 15-40 tahun. Mereka adalah harapan negara, khazanah dan aset penting negara. Bagi kita mendekati mereka, kita harus tahu kemahuan dan kecenderungan mereka. Belia merupakan golongan yang paling selesa melaksanakan aktiviti bersama rakan-rakan. Kebersamaan menjadi agenda penting untuk merealisasikan keseronokan dalam kehidupan mereka. Justeru kecenderungan bersama yang ada pada mereka perlu di cernakan dengan perkara yang bermanfaat. Untuk itu kepemimpinan di pelbagai peringkat, kepemimpinan persatuan belia perlu peka dan tahu akan perkara ini.

Sumbangan khidmat generasi belia menjadi lebih berkesan kerana dilaksanakan secara berkumpulan yang dijelmakan sebagai pertubuhan belia. Pertubuhan belia telah melahirkan pelbagai produk yang amat signifikan dan bermakna dalam pembangunan negara sama ada daripada segi kepemimpinan, kemasyarakatan, ekonomi, sosial, politik, perpaduan, keamanan dan sebagainya. Justeru itulah, kerajaan amat memandangkan tinggi peranan dan usaha yang dimainkan oleh kepemimpinan persatuan dan ahli-ahlinya.

Sehubungan itu usaha-usaha yang padu dan berterusan perlu dilakukan oleh pemimpin belia, pemimpin masyarakat, dan ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak dan orang muda menyertai pertubuhan belia dan aktiviti yang dianjurkan. Buatlah seberapa banyak aktiviti yang boleh memupuk semangat kekitaan, kecintaan kepada negara, bangsa dan agama, tolong-menolong dan lain-lain yang berfaedah.

Hati dipagut rasa bimbang yang amat sangat, apabila kita lihat di dada-dada akhbar, setiap hari akan ada cerita berkenaan salah laku generasi muda. Masalah dadah, seks rambang, hiv/aids, lumba haram, rogol, bunuh dan banyak lagi. Ini amat menakutkan. Sekiranya tidak dibendung, saya pasti negara pada 2020 nanti akan menjadi maju tetapi dalam masa yang sama masyarakatnya terdiri daripada mereka yang tidak punya akhlak dan moral. Kebimbangan ini turut dirasai oleh YAB Perdana Menteri kita dan kerana itulah YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sering kali menyebut akan modal insan dan personaliti unggul.

Kerana itulah majlis belia dan pertubuhan-pertubuhan belia (NGO) harus turun bersama-sama dengan masyarakat, mendekati dan membuat aktiviti yang mendatangkan faedah kepada masyarakat terutamanya generasi muda. Kepimpinan persatuan dan pertubuhan belia harus bersama-sama belia dan para pemimpin akar umbi persatuan belia, berbincang berkenaan masalah dadah dan masalah-masalah sosial yang lain.

Adalah menjadi hasrat YAB Perdana Menteri dan kerajaan untuk membina generasi belia yang berketerampilan dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, kemahiran dan pengurusan organisasi dengan pemupukan nilai-nilai murni dan gaya hidup berkualiti bagi memperkukuhkan integriti nasional dan identiti bangsa Malaysia selaras dengan Wawasan 2020. Untuk itulah Pak Lah telah mengilhamkan konsep 3 K iaitu kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran untuk dihayati dan dipraktikkan oleh seluruh generasi belia.

Sehubungan itu, perkara ini merupakan cabaran dan peluang kepada generasi belia untuk menerokainya. Pemimpin perlu mengambil langkah proaktif untuk berhadapan dengan situasi ini. Kerjasama erat antara badan pertubuhan belia mampu mengatasi perkara ini. Di era globalisasi yang serba mencabar, negara ini memerlukan golongan belia yang berwawasan korporat, berkemahiran dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan bagi meneruskan agenda negara.

Oleh itu, jalan yang terbaik adalah mengelakkan diri daripada mengambil dadah. Sebagai umat Islam melalui Al Quran kita telah dilarang daripada mengambil bahan-bahan yang memabukkan seperti arak dan ini termasuklah juga dadah. Pengharaman ini sebenarnya mengandungi hikmat yang tersendiri untuk kebaikan hambaNya.

Jika menyedari bahaya dan risiko pengambilan dadah ini, sudah tentu ramai yang tidak akan menggunakannya. Namun, kerana faktor kejahilan dan menurut hawa nafsulah maka dadah diambil untuk kepentingan sementara tanpa menyedari potensi yang dibawanya sebagai pembunuh nombor satu dunia.

***Mohd Faizal Mohd Salleh ialah Ahli Majlis Tertinggi merangkap Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial GPMS Kebangsaan. Beliau juga merupakan Ketua Penerangan GPMS Shah Alam.

No comments: